Tuesday, September 8, 2009

Monday, September 7, 2009

CDCA Teknologi Maklumat Dan Penggunaan

SOALAN 1.

FAKTOR – FAKTOR PERLU DIPERTIMBANGKAN SEBELUM MEMBELI PERISIAN YANG SESUAI.

1.1. Memilih dan menilai perisian.

Tujuan utama membuat penilaian pembelian sistem automasi ialah untuk memilih suatu sistem yang paling sesuai dan yang dapat memenuhi segala keperluan spesifik sesebuah syarikat. Di samping itu ia juga dapat mengelakkan berlakunya pembaziran wang, tenaga, masa, ruang dan salah faham terhadap fungsi sesuatu sistem yang dipasarkan oleh pembekal (Ab. Rahim & Ismail, 1982). Adalah penting untuk sesebuah pejabat atau syarikat supaya mereka memastikan keperluan dan kepentingan pembelian sesuatu perisian sebelum membuat sebarang pembelian.

1.2. Menubuhkan jawatankuasa penilai

Sebuah jawatankuasa khas penilai perlu dibentuk untuk mengesahkan sesuatu keputusan serta mengawal sebarang proses penilaian yang bakal dibuat. Jawatankuasa ini dianggotai oleh jawatankuasa induk syarikat tersebut yang dikawal selia oleh jawatankuasa tender syarikat, dan beberapa ahli profesional dalam bidang pengautomasian. Mereka boleh terdiri daripada ; konsultan bebas, direktor-direktor projek atau jawatankuasa bertugas yang mahir dalam bidang pengkomputeran, pengautomasian dan pengaplikasian.

1.3. Memilih kriteria sistem automasi pejabat.

Automasi pejabat merupakan satu pakej perisian komputer yang membantu menjalankan kerja-kerja seharian di pejabat seperti dokumentasi, menyelenggarakan perakaunan atau sebarang kerja pengiraan, melukis, menyediakan persembahan untuk pembentangan dan lain-lain tugas lagi. Ciri-ciri yang perlu ada pada sesebuah sistem automasi pejabat adalah seperti :

a. Cekap dan fleksibel - Kerja-kerja yang memerlukan pengemaskinian mudah dilakukan kerana dokumen disimpan dalam storan dan dapat dicapai dengan mudah.

b. Menyokong pelbagai perkakasan – Ianya boleh menyokong penggunaan perkakasan lain seperti pencetak, pengimbas dan lain-lain lagi.

c. Kebolehpercayaan – Kerja-kerja pejabat yang memerlukan pengiraan, boleh menggunakan automasi pejabat seperti Excel. Ini adalah kerana setiap pengiraan yang berulang-ulang boleh diuruskan secara sistematik dan mengurangkan kesilapan yang mungkin dilakukan.

d. Tahap keselamatan – Tahap keselamatan yang tinggi dan boleh dipastikan sukar untuk dicerobohi kerana maklumat-maklumat yang disimpan di dalam data selalunya sulit dan penting.

e. Kaedah akses menu – Menu-menu pengendalian yang disediakan perlulah mesra pengguna dan tidak terlalu sukar untuk diakses oleh pengendali / pengguna.

1.4. Memantau jenis – jenis sistem perisian dalam pasaran.

Terdapat banyak sistem perisian aplikasi automasi pejabat dalam pasaran. Jawatankuasa pemilih boleh memilih mana-mana perisian yang bersesuaian dengan keperluan organisasi. Antara perisian automasi pejabat yang terdapat dalam pasaran adalah :

1. Abiword

2. Open Office

3. Sumatra

4. Foxit PDF Reader

5. Notes Client 4.6

6. Smartsuite 98

7. MS Ofice 2000

8. SAPR/3 GUI

9. Novell Netware 4.1

1.5. Membuat penilaian sistem automasi.

Proses penilaian ini terbahagi kepada 6 peringkat utama. Peringkat - peringkat tersebut adalah seperti berikut :

Langkah 1 : (Membaca dan menilai proposal)

· Membaca semua proposal yang dihantar oleh pembekal dengan teliti termasuk notakaki dan catatan halus

· Catatkan semua pernyataan yang kurang jelas dan kurang difahami ketika meneliti proposal-proposal tersebut.

· Elakkan daripada terpengaruh dengan tekanan luar seperti pujukkan, tawaran yang tiada kaitan dengan sistem, politik, perhubungan peribadi dan seumpamanya.

· Pastikan kertas proposal itu disediakan dengan cermat, lengkap dan memenuhi keperluan asal mengapa sistem itu diperlukan

Langkah 2 : (Membandingkan bentuk sistem yang ditawarkan dengan keperluan syarikat)

· Pastikan bentuk sistem dalam 'Request for Proposal' (RFP) menepati 'Order Request' (O/R).

· Kenalpasti kriteria-kriteria yang diperlukan oleh syarikat yang tidak dimasukkan dalam RFP terutama sekali elemen-elemen yang penting

· Dapatkan keterangan lanjut daripada pembekal jika perlu sama ada melalui surat atau pertemuan secara langsung.

Langkah 3 : (Jemput pembekal untuk berbincang mengenai proposal)

· Tujuan utama perjumpaan adalah untuk mendapat taklimat dan penerangan lanjut mengenai isu-isu yang kabur dalam proposal dan berunding dalam perkara-perkara yang memerlukan tawar menawar antara kedua-dua pihak

· Berunding untuk memenuhi keperluan sistem automasi yang masih belum cukup jelas dengan kos yang telah dinyatakan dalam RFP

· Pastikan pegawai teknikal kedua-dua pihak hadir sama untuk membincang soal-soal yang berkaitan dengan teknikal perkakasan dan perisian sistem

· Sebarang keputusan yang dicapai semasa perbincangan hendaklah ditulis secara formal dengan jelas serta disahkan oleh kedua belah pihak untuk peringatan dan tindakan sewajarnya.

Langkah 4 : (Menghadiri sesi demonstrasi sistem)

· Tujuannya ialah untuk melihat dan mencuba sendiri sistem yang ditawarkan itu.

· Bagi sistem yang besar dan mahal, adalah perlu bagi jawatankuasa penilai mencubanya sehingga tempoh masa seminggu (tempoh bertenang).

· Pembekal perlu mendemonstrasikan pangkalan data dan sistem yang sebenar atau yang seumpama sistem yang bakal dibekalkan mengikut spesifikasi yang dipohon.

· Pembekal juga dikehendaki menyediakan:

1. Kakitangan terlatih yang mampu mendemostrasikan sistem dengan baik dan menjawab soalan-soalan praktikal.

2. Dokumen-dokumen yang relevan

3. Sistem yang sama seperti dalam O/R

4. Sesi latihan pengendalian sistem

Langkah 5 : (Menilai Bentuk Sistem Yang Tidak Didemostrasikan)

· Kos - semasa dan akan datang

. Perkakasan

· Adakah ianya daripada pengeluar yang terkenal

· Adakah automasi tersebut berkualiti

· Adakah pembekal adalah wakil/ pengedar yang sah

· Adakah penyenggaraan yang dibuat oleh pihak pembekal daripada pakar atau mereka yang terlatih

· Tempoh bertenang

§ Perisian

· Penggunaan bahasa yang standard dan boleh difahami dengan mudah (mesra pengguna)

· Sistem operasi yang standard

§ Keupayaan

· Adakah sistem yang dibeli berupaya membaca sistem lain

· Adakah data yang sedia ada boleh dibaca oleh sistem

· Siapakah yang bertanggungjawab melakukan sebarang penukaran spesifikasi dan program yang sedia ada

· Adakah ianya memerlukansebarang kos tambahan

§ Jangka masa respon

§ Kemampuan mengendalikan rangkaian (Network)

§ Skim latihan yang disediakan oleh pihak pembekal untuk mengendalikan perisian/automasi.

§ Latarbelakang dan status syarikat pembekal

§ Dokumentasi

Langkah 6 : (Berbincang dengan pengguna lain)

§ Hubungi pengguna-pengguna lain.

§ Melawat ke tempat-tempat yang mempunyai sistem yang sama

§ Tanya pendapat dan pandangan lebih daripada seorang kakitangan di tempat-tempat yang dilawati.

§ Berhati-hati ketika melawat ke tempat yang dicadangkan oleh syarikat pembekal


1.6. Teknit – teknit penilaian lain.

Terdapat juga beberapa teknik yang lain untuk melakukan penilaian secara ringkas. Antaranya adalah :

Teknik 1 : (Pemberatan Skor)

· Markah diberi bagi setiap bentuk sistem yang dibekalkan

· Pembekal yang mendapat markah tertinggi akan dipilih.

Teknik 2 : (Penentuan Kos)

Penentuan pembelian berdasarkan kos termurah Kos termurah hendaklah dilihat daripada rekod dan tempoh berurusan selama 5 hingga 7 tahun

· Perhatian yang mendalam dan teliti harus dibuat ke atas tawaran yang murah keranan pembekal mungkin hanya mengenakan bayaran ke atas item-item asas sahaja dan tidak mengambil kira aspek-aspek lain yang sama juga pentingnya dengan sistem itu sendiri

Teknik 3 : ('Bench-marking')

· Memerlukan pembekal membuktikan kemampuan sistem berdasarkan jangka masa respon yang ditetapkan.

· Ujian kemampuan sistem dijalankan/diuji ke atas satu sample yang disediakan.

1.7. Khidmat Bantuan dan sokongan teknikal.

Perlulah dipastikan, sistem automasi tersebut telah dicuba dan diuji. Sudah tentu syarikat tidak mahu pengendalian operasinya
1.8. Hubungan dengan pembekal.

Perhubungan dengan pembekal perlu dijalinkan dengan baik tetapi perlu dipastikan ianya tidak melebihi batasan berurusan secara rasmi. Elakkan daripada terjebak dengan taktik-taktik halus yang digunakan untuk memenangi hati penilai untuk membeli sistem mereka. Suatu perkara yang penting ialah untuk tidak mendedahkan tawaran sesuatu pembekal kepada pembekal yang menjadi saingannya. Setiap pembekal hendaklah diberikan satu jadual penilaian sistem mereka masing-masing.

Pihak syarikat juga perlu memastikan adakah program perisian mudah diperolehi walaupun syarikat pembekal ditutup. Sekiranya terdapat sebarang kerosakan yang tidak dijangka, pihak pembekal dapat menyediakan khidmat bantuan dan sokongan teknikal secepat mungkin ataupun sekurang -kurangnya mempunyai sistem keselamatan dan ‘back-up’ .

1.9. Percubaan

Untuk memastikan sesuatu perisian dapat digunakan semaksimum mungkin, pihak pembekal seharusnya memberi tempoh bertenang kepada pelanggan untuk membuat penilaian terhadap perisian yang dibeli. Selalunya untuk sistem yang besar dan mahal, adalah perlu bagi jawatankuasa penilai mencubanya sehingga tempoh masa seminggu

1.10. Jaminan pulangan.

Proses menilai pembelian sistem haruslah dikendalikan dengan penuh kewaspadaan, ketelitian dan kepakaran yang tinggi. Ini akan menjamin suatu pulangan yang berkualiti dan memenuhi keperluan spesifik dan kriteria-kriteria yang diperlukan oleh sesebuah syarikat tersebut. Setelah emuanya berpuas hati dengan perisian yang telah diuju sepenuhnya, barulah pembelian sistem automasi pejabat tersebut dapat diteruskan.

SOALAN 2

(a) i. TUJUAN DAN KEGUNAAN PANGKALAN DATA BAGI PERSEKITARAN PERNIAGAAN.

Bagi persekitaran perniagaan pula, sistem pangkalan data memainkan perana yang besar dalam memastikan kelancaran sesebuah organisasi. Ianya direka bentuk untuk memenuhi keparluan maklumat oleh pengurus-pengurus dalam sesebuah organisasi. Melalui pangkalan data, pelbagai aktiviti dapat dilakukan seperti menganalisa keperluan perbelanjaan, ramalan keuntungan, laporan dan lain-lain lagi. Antara kegunaan pangkalan data dalam persekitaran perniagaan adalah ;

Sistem Maklumat Sumber Manusia

Kebanyakkan organisasi menggunakan sistem maklumat berasaskan pangkalan data untuk mengeluarkan slip gaji dan laporan gaji staf, menyimpan rekod-rekod staf dan menganalisa penggunaan staf dalam operasi perniagaan organisasi.

Sistem Maklumat Pembuatan

Sistem Maklumat Pembuatan menyokong fungsi-fungsi pengeluaran atau pengoperasian yang merangkumi aktiviti-aktiviti perancangan dan pengawalan proses pengeluaran produk. Sistem maklumat pembuatan ialah untuk menghasilkan produk yang memenuhi kehendak pelanggan, bermula daripada bahan mentah yang disediakan oleh pembekal sehingga kepada perkhidmatan dan produk siap yang diberikan kepada pelanggan dengan kos yang rendah.

Sistem Maklumat Pemasaran

Sistem Maklumat Pemasaran mengumpul data-data yang menerangkan transaksi pemasaran yang berlaku dalam organisasi. Data-data ini diperolehi menerusi penggunaan teknologi maklumat. Pengurus-pengurus jualan merancang, memantau dan membantu prestasi jurujual-jurujual yang memasarkan produk organisasi. Oleh sebab itu, kebanyakan organisasi mempunyai Sistem Maklumat Pemasaran berasaskan komputer bagi menjanakan laporan analisis jualan yang menganalisa jualan mengikut produk, pelanggan, jenis pelanggan, jurujual, wilayah jualan dan sebagainya.

Laporan-laporan sebegini membantu pengurus pemasaran memantau prestasi jualan produk dan jurujual. Disamping itu juga, membantu pengurus pemasaran untuk menyediakan program-program yang boleh meningkatkan hasil jualan organisasi. Organisasi yang tidak mempunyai satu sistem maklumat perakaunan yang baik, maka ia tidak dapat memberi maklumat yang baik bagi membantu pengurus-pengurus menyelesaikan masalah pemasaran.

Sistem Pemprosesan Transaksi

Transaksi adalah berlaku dalam aktiviti perniagaan organisasi, seperti penjualan, pembelian, pembayaran, dan sebagainya. Ia menggambarkan pertukaran produk atau perkhidmatan dengan wang. Apabila berlakusesuatu transaksi di antara organisasi dengan pelanggannya atau pihak-pihak lain, data-data mengenai transaksi, pelanggan, produk, jumlah wang yang terlibat, dan sebagainya perlu direkod dan diproses. Ini adalah kerana, transaksi yang berlaku akan memberi kesan ke atas kedudukan kewangan organisasi. Maka, aktiviti pemprosesan transaksi adalah sangat diperlukan dalam organisasi untuk memastikan pemprosesan data-data transaksi berjalan dengan lancar, kalau tidak operasi transaksi organisasi akan lumpuh.

(a) ii. SISTEM PENGURUSAN PANGKALAN DATA (SPPD)

Pengendalian pangkalan data dilaksanakan dengan menggunakan satu sistem dikenali Sistem Pengurusan Pangkalan Data (SPPD). Sistem ini bertugas membolehkan data disimpan di dalam bentuk asal dan dicapai oleh pengguna pada bila-bila masa. Dengan itu, setiap pengguna hanya nampak data yang diperlukan sahaja untuk mencapai data yang sama.

SPPD membolehkan pengguna menakrif, mencipta, menyelenggara, memanipulasi dan mengawal capaian terhadap data dalam pangkalan data. Ia adalah satu proses di mana sesuatu data dikaitkan dengan data yang lain untuk menghasilkan keputusan yang lebih berguna. Sistem Pengurusan Pangkalan Data dibangunkan adalah untuk mengatasi kelemahan yang terdapat dalam sistem pemprosesan fail klasik seperti perulangan data, lewahan data dan ketidak selarasan data. Pangkalan data dikongsi bersama oleh semua jabatan yang mempunyai akses terhadap sistem tersebut.

EMPAT ELEMEN DALAM SPPD

Perkakasan

Merupakan komponen fizikal sesuatu sistem komputer yang digunakan untuk memasukkan, memproses dan menyimpan data.Terdiri daripada peranti input, peranti output, unit sistem dan peranti-peranti yang lain yang dikawal oleh perisian. Keperluan perkakasan minima bergantung kepada jenis penggunaan dan seni bina sistem pengurusan pangkalan data itu sendiri. Ia juga bergantung kepada keperluan sesuatu organisasi tersebut. Ada SPPD yang memerlukan hanya sebuah komputer mikro, ada yang memerlukan komputer kerangka utama dan ada yang memerlukan rangkaian luas dalam persekitaran pelayan-pelayan.

Perisian

Ia juga dikenali sebagai program/aturcara yang dilaksanakan oleh komputer. Perisian merupakan langkah demi langkah yang mengarah komputer bagaimana untuk melaksanakan tugas.

Data

Data merupakan komponen terpenting dalam sistem pangkalan data. Ia adalah fakta mentah yang belum diproses . Ia boleh didapati dalam bentuk kertas, elektronik atau bentuk lain yang akan diproses oleh komputer. Data mengandungi fakta dan angka mentah yang akan diproses kepada maklumat.

Tatacara / Prosedur

Dikenali sebagai peraturan atau arahan yang dikenakan bagimengawasi reka bentuk dan penggunaan dalam sistem pangkalan data. Tatacara yang ditetapkan perlu dilaksanakan bagi menjamin kelicinan perjalanan sistem pangkalan data. Ianya digunakan oleh pengguna sistem atau kakitangan yang menguruskan pangkalan data itu. Antara contohnya ialah arahan untuk log masuk ke SPPD atau arahan untuk membuat salinan ‘backup’ bagi pangkalan data itu.

(b). PANGKALAN DATA YANG EFISYEN

Sistem pangkalan data dicipta sebagai satu kaedah untuk menyelesaikan masalah - masalah melibatkan pengurusan data. Antara ciri-ciri pengkalan data yang efisien adalah :

Keselamatan Data

Penggunaan pangkalan data yang meluas dalam pelbagai bidang seperti sektor kewangan, perniagaan dan awam memerlukan satu sistem keselamatan untuk mengelakkan kebocoran maklumat ini. Maklumat-maklumat ini dikawal dengan penggunaan password. Ia mengawal penggunaan pangkalan data kepada pengguna yang hanya diberi kebenaran. Data adalah sulit dan terkawal serta untuk pengguna yang tertentu sahaja. Integriti data yang disimpan adalah di tahap yang tinggi. Ianya juga memastikan kewibawaan (integriti) pangkalan data dapat dikekalkan dari segi keselamatan dan kebolehpercayaan.

Mengelak Pengulangan Data

Dalam sistem fail, pengulangan data seringkali berlaku disebabkan maklumat tidak dapat disemak dengan cepat sama ada maklumat tersebut telah wujud atau tidak. Melalui pangkalan data, kejadian data berulang dapat dikesan terus semasa proses memasukkan data tersebut. Lebih banyak maklumat dapat dijana daripada jumlah data yang sama. Data yang tersimpan adalah terkini, konsisten dan diyakini tidak mengalami pengulangan.

Data Dikemaskini Dan Boleh Diubah Mengikut Keperluan

Semua maklumat disimpan di dalam satu pangkalan data dan jika segala perubahan maklumat sama ada oleh jabatan atau individu yang berlainan akan tetap dikemaskini. Oleh itu segala maklumat yang dikehendaki bolah dicapai dengan pantas dan tepat. Ianya juga boleh diubah mengikut keperluan jika terdapat sebarang perubahan atau kesilapan.

Kemudahan Manipulatif Data

Maklumat yang telah direkod perlu sentiasa dirujuk balik. Rujukan semula menjadi amat mudah dengan adanya sistem pangkalan data. Masa yang digunakan untuk mencari maklumat dapat dikurangkan kerana pengguna hanya perlu menekan beberapa butang atau kata kunci untuk memanggil semula data tersebut tanpa perlu menyamak fail yang tersusun.

Kemudahan Menyimpan Data / Integrasi Data

Data disimpan, dikemaskini dan diubahsuai pada bila-bila masa tanpa perlu penyalinan semula. Ini dapat menjimatkan masa dan tenaga serta mengurangkan pembaziran. Ianya lebih ekonomi dari segi tenaga manusia dan penyimpanan yang tidak memerlukan ruang yang banyak. Selain itu, integrasi data dari berbagai sumber fail atau aplilasi yang berbeza dapat disatukan dan dicapai pada bila-bila masa. Perkongsian data ini membenarkan ramai pengguna mencapai maklumat yang dikehendaki dalam satu masa yang sama. Ianya ditakrif hanya sekali tetapi digunakan berkali-kali oleh pelbagai pengguna dan dari lokasi yang berbeza.

Rujukan

Abdul Razak Hamdan, Yazrina Yahya, Mohd. Shanudin Zakaria, Mohd. Zamri Murah (2000). Teknologi Maklumat , McGraw Hill Companies Sdn Bhd : Cheras.

Dr. Abdullah Embong (2000). Sistem Pangkalan Data ; Konsep Asas Reka Bentuk dan Pelaksanaan , Tradisi Ilmu Sdn. Bhd : Petaling Jaya, Selangor.

Jabatan Sistem Maklumat, Fakulti Sains Komputer Dan Sistem Maklumat, Universiti Teknologi Malaysia (2000). Teknologi Dan Sistem Maklumat , McGraw Hill Companies Sdn. Bhd : Cheras

Md. Hafiz b Selamat, Mahadi b Bahari, Habshah bt Abdullah, Suraya bt Miskon, Zeti Darlena bt Eri, Ab. Razak Che Hussain (2001). Pengenalan Kepada Pangkalan Data : Teori dan Praktis , McGraw-Hill (Malaysia) Sdn. Bhd : Cheras.

Mohd. Aizaini Maarof (2004). Siri III Teknologi Maklumat, Universiti Teknologi Malaysia, : Skudai Johor.

Tg Siti Maryam Tg Wok, Saidah Saad, Nazleena, Siti Fadhilah Mohd. Noor, Siti Norul Huda Abdullah (2008) . CDCA2103 Information Technology And Applications , Open University Malaysia (OUM) : Seri Kembangan.

Valerie Haynes Perry (1998). Cara Menggunakan Komputer Anda : Edisi Paling Laris, S. Abdul Majid & Co, Synergy Book Internationals : Bangsar, Kuala Lumpur

http://web.ktb.edu.my/wanie .16 Jun 2009.

http://www.azumass.com/blog 17 Jun 2009

http://alrashid2006.multiply.com.22.6.2009

www.iab.edu.my/PDFfiles/Keselamatan17.6.2009

http://www.ilplabuan.gov.my.25.6.2009

http://bijakkomputer.com/blog/category/perisian.22.6.2009

http://fatekma.uthm.edu.my.25.6.2009

http://www.intanbk.intan.my/cda/m_online/ptk_files.17.6.2009

SBSC4203 Isu - isu Semasa Dalam Sains

BAHAGIAN A

Soalan 1.

Perbezaan masa wujud antara penemuan saintifik dan pengaplikasian teknologi tersebut. Bincangkan kenyataan di atas dengan satu produk/servis/teknologi sebagai satu contoh.

Perbezaan masa wujud antara penemuan saintifik dan pengaplikasian teknologi tersebut adalah disebabkan oleh beberapa faktor, di antaranya

i. Sikap manusia sendiri yang sukar menerima sesuatu perubahan dalam hidup mereka. Mereka lebih suka dan selesa mengamalkan cara lama dan amat susah untuk menerima benda baru

ii. Pada peringkat awal semasa revolusi perusahaan meletus di barat banyak penemuan saintifik tertumpu di Eropah. Jadi kebarangkalian negara-negara lain mendapat menggunakan teknologi tersebut adalah kurang dan memakan masa yang lama.

Penemuan Hukum Induksi Magnet oleh M. Faraday contohnya membawa kepada penggunaan janakuasa elektromagnet di mana ia mengambil masa yang panjang iaitu selama 53 tahun untuk diterima dan digunapakai. Pada hari ini semua barangan elektronik dan jentera bermotor menggunakan induksi magnet sebagai pengaruh cas bagi mengerakkan operasi dan kawalan sesuatu alatan.

Soalan 2.

Sains dan agama kebiasaanya tidak sepadan antara satu sama lain.

Sains adalah ilmu yang diperolehi dengan kaedah yang berasaskan pemerhatian empirik . Sains juga melibatkan aktiviti manusia, mempunyai batasan tersendiri, berasaskan autoriti (data eksperiman) dan dibina atas autoriti. Sains ada perubahan dari masa ke semasa apabila terdapat penemuan baru atau alat yang boleh memperbaharui teri-teori yang lama. Berbeza dengan agama yang ajarannya adalah tetap dan tidak berubah walaupun melalui masa yang lama dan berpandukan kitab yang tidak boleh diubah-ubah. Agama mendidik manusia beradab, bermoral dan menjadikan manusia hidup beretika.

Melihat kepada asal usul kejadian alam. Dari segi agama, surah al-Anbiya ayat 30, bermaksud “kedua-dua langit dan bumi pada asalnya adalah satu yang melekat lagi bercantum, kemudian Allah pisahkan di antara kedua-duanya dan dijadikan antara kedua-duanya udara.” telah menceritakan tentang pembentukan alam 1425 tahun dahulu.

Teori kejadian alam yang diterima pakai pada hari ini iaitu teori `Big Bang’, mengatakan alam ini pada asalnya bercantum padu, kemudian berlaku satu letupan yang kuat menghasilkan proses pengembangan dan penyejukan, disusuli dengan kelahiran bintang-bintang, galaksi dan cakerawala 10 hingga 20 bilion tahun dahulu. Edwin Hubble(1929) menemui bukti-bukti kukuh yang menyokong teori `Big Bang’ diperkukuhkan lagi oleh pakar-pakar astrofizik dari Amerika, Arno Penzias dan Robert Wilson pada tahun 1965 selepas mereka mengukur tahap radiasi yang wujud di angkasa raya menggunakan alat pengesan khas NASA yang bernama COBE spacecraft antara tahun 1989 hingga 1993. Kajian makmal CERN yang terletak di Geneva mengesahkan bahawa langit dan bumi suatu masa dahulu bercantum padu sebelum dipisahkan.

Perdebatan penemuan sains dan agama tidak selalunya ada kesepakatan dan kadangkala boleh menimbulkan percangahan yang membingungkan. Kemunculan penemuan – penemuan sains baru banyak membelakangkan agama sedangkan penemuan – penemuan itu sudah dijelaskan oleh agama lebih terdahulu berbanding sains.

Soalan 3.

Sains dibina atas autoriti.

“Sains dibina atas autoriti” merupakan satu konsep yang memerlukan bukti di mana apabila ada orang yang mengutarakan suatu teori, pakar-pakar sains tidak akan memperdulikannya melainkan jika ia disertakan dengan bukti dan melalui beberapa ujian saintifik. Di dalam konteks ilmu dan pengetahuan, mendekati konsep sains berdasarkan kepada setiap disiplin ilmu perlu didahului dan didokongi oleh orang yang ahli atau pakar dalam sesuatu bidang berkenaan. Sains bukan terhad kepada ilmu sains tulen semata - mata seperti fizik, kimia dan biologi, tetapi sebarang cabang ilmu dan disiplin yang berasaskan kepada autoriti atau yang mengamalkan pendekatan yang sama merupakan sains. Mana-mana cabang ilmu yang mengamalkan pendekatan sains merupakan sains iaitu ilmu pengetahuan yang tersusun atau sistematik yang diperoleh menerusi pendekatan saintifik dan seterusnya diperoleh dengan pendekatan pengamatan yang telah diperakukan oleh pihak yang berautoriti dalam bidang atau disiplin berkenaan.

Soalan 4.

Lima perkembangan teknologi dalam sektor pertanian Malaysia.

Sektor pertanian memperlihatkan penyepaduan teknologi menjadi pemangkin utama dalam perkembangan industri ini. Pelbagai penemuan baru terurai menerusi kajian dan penyelidikan yang dijalankan oleh para saintis dan juga penyelidik.

Ini adalah bagi mempertingkatkan produktiviti dari segi kuantiti dan juga kualiti

yang dihasilkan melalui penerapan teknologi - teknologi baru.

4.1. Teknologi Fertigas.

Sistem pertanian berteknologi fertigasi semakin mendapat sambutan yang memberangsangkan di kalangan petani Malaysia masa kini. Fertigas berasal daripada perkataan inggeris, fertigation. Sistem ini menyalurkan larutan nutrien yang diperlukan oleh tumbuhan dengan menggunakan pam atau graviti dari tangki larutan ke tanaaman-tanaman yang ditanam di dalam polibeg menggunakan bahan seperti sekam padi, cocoa peat dan sabut kelapa sebagai medium.

Penerapan teknologi baru kepada sistem ini menjadikan gabungan pengetahuan mengenai baja, peralatan dan strategi pengurusan nutrien yang efektif, menyebabkan teknik fertigasi ini semakin diminati untuk diceburi.
Bagaimanapun, sebelum mengaplikasikan teknologi ini, beberapa prinsip penting perlu dititik beratkan untuk mengelakkan masalah di kemudian hari. Sehubungan itu, pengetahuan mengenai komposisi baja, perbezaan unsur dalam baja dan bahan baja perlu diteliti.

Penggunaan peralatan untuk sistem fertigasi mestilah bersesuaian dengan kuantiti tanaman dan penggunaan baja. Pemilihan teknik dan peralatan yang tidak sesuai akan merosakkan sistem pengairan dan seterusnya memberi kesan bilangan produktiviti dan kelancaran operasi. Teknologi ini mampu membantu serta mendatangkan kebaikan kepada pengusaha kerana teknologi fertigasi tidak memerlukan kawasan tanah yang luas untuk mengusahakan tanaman.
Kaedah ini bukan sahaja berupaya meningkatkan lagi hasil pendapatan berganda kepada petani malahan dapat mengurangkan kos operasi dan tenaga kerja berbanding dengan kaedah konvensional. Namun begitu, kaedah ini tidak sesuai untuk semua jenis tanaman sayuran dan biasanya digunakan untuk tanaman cili, tomato, terung, timun dan tembikai.

4.2. Teknologi Krioawetan.

Kaedah krioawetan merupakan salah satu proses yang digunakan untuk menyimpan sesuatu spesies tumbuhan dalam tempoh yang lama terutama spesies yang mengalami kepupusan. Proses ini membolehkan biji benih disimpan dalam satu tempoh yang lama terutama spesies yang mengalami masalah kepupusan.

Proses ini membolehkan biji benih disimpan dalam satu jangka masa lama dalam persekitaran terkawal. Biji benih diperlukan sebagai satu cara semulajadi untuk menghasilkan sebatang pokok. Biji benih merupakan satu struktur terdiri daripada embrio yang dikelilingi dengan bahan makanan dan kulit biji.

Apabila berada di persekitaran yang sesuai, biji benih akan bercambah dan membentuk sebatang pokok. Sekiranya bekalan biji benih semakin berkurangan, lama kelamaan tumbuhan tertentu pasti akan mengalami kepupusan. Oleh yang demikian, krioawetan merupakan penyelesaian yang terbaik dengan memastikan biji benih dapat disimpan sebagai stok.
Selain itu, kelebihan proses ini ialah ia mudah dikendalikan dan stabil serta boleh diletakkan dalam tempat penyimpanan yang kecil. Biji bebenih berkenaan mudah disimpan dari segi logistik kerana saiznya yang kecil dapat menjimatkan ruang dan pada masa yang sama, ia juga boleh dihantar ke luar negara tanpa perlu menjalani proses kuarantin kerana keadaannya yang bersih tanpa kuman atau mikroorganisma lain seperti kulat dan virus.

4.3. Teknologi Biosensor.

Boisensor adalah satu alat pengesan racun serangga biologikal gentian optik mudah alih yang telah dihasilkan oleh seorang penyelidik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk mengukur tahap kandungan racun yang berlebihan pada sayur-sayuran dan buah – buahan yang mendatangkan kesan negatif serta memudaratkan kesihatan pengguna serta petani yang menanamnya. Masalah kandungan racun berlebihan ini berlaku kerana penanam sayur menggunakannya pada kadar yang melebihi daripada had yang selamat digunakan.

Alat inovasi ini menggabungkan dua aplikasi teknologi iaitu pengecaman molekular dan penguatan reaksi biokimia serta teknologi pengolahan isyarat cahaya melalui gentian optik dan pemprosesan data secara elektronik. Antara kelebihannya ialah ia lebih murah, mudah digunakan dan mampu memberikan keputusan yang cepat dan tepat.

4.4. Teknologi GMO.

Organisma Diubahsuai Secara Genetik (GMO) adalah satu proses pengubahsuaian ciri-ciri asal bakteria, fungus, tumbuh-tumbuhan atau haiwan secara genetik.

Teknik itu diperkenalkan bertujuan untuk menjadikan organisma yang dihasilkan berdaya tahan kepada penyakit, cepat matang, dapat bertoleransi kepada racun, lebih berkualiti dan sebagai kawalan biologi atau meningkatkan zat mineral.

Teknologi ini meliputi proses memasukkan genetik dari bakteria, fungus, tumbuhan dan haiwan yang didapati sesuai yang akhirnya menghasilkan satu sifat baru yang melengkapi proses atau GMO tersebut.
Di negara ini, ia telah bermula sejak tahun 1980-an manakala di negara-negara maju lebih awal lagi.

Pada pertengahan 1990-an, Universiti Malaysia Sarawak(UNIMAS) misalnya telah cuba mengubahsuai ciri-ciri asal bakteria E-coli yang terdapat dalam perut manusia yang berpotensi untuk tujuan keseimbangan alam sekitar.
Di barat, teknologi GMO lebih kehadapan melalui penghasilan hasil-hasil pertanian seperti padi, tomato, kentang, tembakau dan sebagainya yang didapati mampu menahan penyakit dan penghasilan yang tinggi serta enak
Lebih menarik, saintis Amerika Syarikat dengan kerjasama petani Jepun telah membuktikan bahawa hasil padi yang telah menjalani proses GMO telah meningkat sehingga 35 peratus.

4.5. Teknologi Rangsangan Etefon

Kimia etefon adalah sejenis bahan kimia yang menggalakan pengeluran lateks getah, ia diperbuat dari bahan seperti minyak sawit dan perawis lengai yang lain. Bahan ini bertindak dengan melambatkan berlakunya palam lateks semasa menorah. Oleh itu masa yang lama diberikan bagi lateks menglir keluar. Dalam torehan ini etefon digunakan atas panel torehan dengan kekuatan dan kekerapan penggunaan bergantung kepada system torehan dan umur pokok. Pokok getah yang belum matang iaitu bawah 15 tahun menggunakan perangsang etefon di panel torehan dengan kekuatan dan kekerapan kegunaan bergantung kepada system torehan dan umur pokok. Bagi pokok matang pula iaitu 15 tahun ke atas menggunakan rangsangan etefon di samping alat rangsangan gas seperti RRIMFLOW, REACTORRIM, LET SYSTEM dan MORTEX.

Soalan 5.

Perihal satu contoh untuk menunjukkan bagaimana ahli – ahli politik mempengaruhi kajian sainstifik.

Ahli politik adalah di antara individu-individu yang berpengaruh yang memegang jawatan tertentu di Kementerian Sains, Tekonologi dan Inovasi (MOSTI) di mana mereka boleh mencadangkan di Parlimen agar peruntukan boleh diberikan kepada saintis yang boleh menghasilkan barangan atau teknologi baru kerana Kementerian ini mempunyai peruntukkan yang boleh disalurkan. Contohnya penghasilan vaksin di mana satu vaksin boleh mengubati satu penyakit. Jadi ahli politik memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kajian saintifik

Satu contoh lagi di mana ahli politik boleh mempengaruhi kajian saintifik iaitu semasa penubuhan Syarikat GEC di mana Kementerian (ahli politik) memberi syarat supaya ada jawatan saintis di dalam Syarikat.

Untuk menggalakkan saintis menghasilakn penemuan baru, ahli politik (Kementerian) boleh mencadangkan agar dikecualikan cukai kepada saintis yang menghasilkan penemuan atau barangan baru.

BAHAGIAN B

Soalan 1.

i. Sel dasar.

Sel dasar atau sel stem merupakan sel induk yang membentuk pelbagai jenis sel seperti sel saraf, sel kulit, sel darah dan semua jenis sel di dalam seluruh sistem tubuh kita. Sel-sel tersebut mempunyai kemampuan untuk menjana sebagai penganti sel – sel yang berpenyakit dengan sel – sel baru yang sihat dan berfungsi di dalam badan manusia. Terdapat dua punca utama sel stem ini :

(a) Sel stem dewasa.

Ia boleh diperoleh daripada janin yang gugur, darah tali pusat, sumsum tulang, darah dan otak. Sel-sel ini kurang mampu bertukar menjadi sel-sel khas berbanding dengan sel stem embrionik. Bilangannya agak kurang dan ada kalanya sukar untuk diperoleh (contohnya daripada bahagian otak dan retina mata).

(b) Sel stem embrionik.

Sel ini diperoleh daripada embrio yang terbentuk akibat persenyawaan luar tubuh (in-vitro fertilisation) atau melalui teknologi pengklonan (pemindahan nuklear sel somatik). Terdapat suatu perbahasan moral dan etika yang hangat dan berterusan tentang penggunaan embrio untuk penyelidikan.

Darah tali pusat merupakan punca yang agak baik untuk mendapat sel stem hemopoietik (HSC). Kira-kira 100ml boleh membina balik sistem hemopoietik dalam pesakit-pesakit yang kecil yang kebanyakannya kanak-kanak.

Transplantasi darah tali pusat yang pertama berjaya dilakukan 16 tahun yang lalu. Sejak itu, lebih daripada 3,000 transplantasi sudah dilakukan di seluruh dunia. Hanya sebilangan kecil transplantasi dilaporkan di kalangan orang dewasa.

ii. Mengapa banyak negara melabur dalam bidang sel dasar.

Banyak negara melabur dalam bidang ini kerana bidang ini memang mempunyai potensi yang baik untuk dimajukan dan dapat mengurangkan kos rawatan. Contohnya penyakit fisiologi yang tidak akan sembuh yang biasanya menjangkiti warga tua seperti penyakit kencing manis, parkinson, alzheimer dan sebagainya. Bila warga tua semakin ramai maka penyakit ini juga akan bertambah banyak, jadi mengubati penyakit-penyakit ini memerlukan kos rawatan yang tinggi.

Soalan 2.

i. Pengetahuan saintifik menyumbang kepada komunikasi, sukan dan

nutrisi.

Bidang komunikasi

Pengetahuan tentang gelombang menyebabkan terhasilnya telefon selular dan televisyen. Ia telah memperluaskan kemudahan infrastruktur komunikasi dan multimedia ke kawasan-kawasan terpencil bagi merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar, dan mewujudkan pembangunan samarata dalam negara.

Kerajaan Malaysia hari ini telah melebarkan ilmu pengetahuan dalam bidang sains angkasa. Program angkasawan membuka mata generasi muda akan kepentingan ilmu sains angkasa. Program ini memacu bidang teknologi dan komunikasi negara yang berkait dengan bidang angkasa, contohnya dalam bidang kapal angkasa, satelit, radar, sistem pengesan global (GPS) dan lain-lain. Kepakaran ini dihasilkan tentulah daripada penyelidikan dan pembangunan yang berterusan di dalam sistem komunikasi dan maklumat.

Bidang Sukan

Pemantauan, pengukuran dan analisis prestasi latihan dan pertandingan menggunakan peralatan dan teknologi terkini untuk mendapatkan maklumat bagi menyokong perkembangan seseorang atelit Malaysia dilakukan di Pusat Biomekanik Sukan,ISN. Kajian prestasi atelit, faktor-faktor yang mungkin membataskan prestasi dapat dikenalpasti dan perubahan kepada latihan atelit boleh dilaksanakan bagi mengatasi masalah tersebut.

Masalah di atasi dengan terciptanya kasut sukan yang lebih ringan dan tidak mudah mencederakan tumit, pakaian untuk perenang yang mempunyai rintangan air yang kurang serta basikal yang dicipta diperbaut daripada karbon supaya basikal tersebut lebih ringan dan lebih laju apabila dikayuh.

Bidang Nutrisi

Nutrisia dalah proses pengambilan zat-zat makanan penting oleh tubuh badan manusia dan bagaimana tubuh menggunakannya. Manusia boleh memakan apa saja, tetapi makanan yang dimakan itu haruslah mengandungi nutrisi yang diperlukan oleh tubuh badan.

Pengabaian kepada nutrisi mengakibatkan berlakunya kegemukan, alahan pada kulit, muncul penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, lemah jantung dan sebagainya. Dengan mempelajari ilmu sains, pelbagai kaedah saintifik digunakan untuk mengkaji jenis-jenis makanan yang memenuhi keperluan diri.

Pelbagai kaedah saintifik juga telah digunakan untuk mencipta makanan yang mengandungi nutrisi yang diperlukan badan, mengekalkan kesihatan, menjaga kecantikan dan meningkatkan kecergasan. Maka dengan itu wujudlah jenama makanan kesihatan seperti Herbalife, Dunia Herbs, Shaklee, Elken Sprilulina dan sebagainya.

RUJUKAN

Abu Bakar A. Majeed – Editor(2002). Ethics in the biotechnology century. IKIM,

Kuala Lumpur.

Malaysian Law and Policies on Human Reproduction (1988). Kuala Lumpur: National

population and Development Board.

http://yuzamri.blogspot.com/2008/08/teknologi-terkini-pertaniantempatan.html.19.7.09

http://nurulshuhada.blogspot.com/2009_02_01_archive.html.20.7.2009

http://www.utusan .com.my/utusan/indek.asp?pub=Utusan_Malaysia.20.7.2009

http://www.investos.about.com/21.7.2009

http://www.ikim.gov.my/v5/imagesweb/ikim/favicon.ico.21.7.2009

http://www.suaraulama.com.my.21.7.2009

http://www.islam.gov.my/portal/sejarah.php.20.7.2009

http://www.kompas.com/ver1/kesehatan/0611/17/084322.htm.20.7.2009

http://www.nap.edu/issues.21.7.2009

SBEM3403 Pengukuran dan Penilaian Dalam Matematik

BAHAGIAN A

Soalan 1.

Pentaksiran.

Pentaksiran ialah proses membuat keputusan berdasarkan kepada suatu peraturan atau piawaian ( Popham, 2000 ). Pentaksiran juga adalah sebahagian daripada proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, membuat skor dan menterjemahkan maklumat tentang pembelajaran seseorang pelajar bagi sesuatu tujuan tertentu ( Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000 ).

Pentaksiran boleh diistilahkan satu proses mendapatkan maklumat untuk membuat pertimbangan tentang produk sesuatu proses pendidikan. Dari segi pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, petaksiran boleh didefinisikan sebagai satu proses sistematik untuk menentukan sejauh mana objektif pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah tercapai.

Penilaian.

Penilaian ialah satu proses yang sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang ditetapkan itu tercapai (Gay, 1985). Menurut Stufflebeam (1971), penilaian adalah proses mengenalpasti, memperoleh dan menyediakan maklumat berguna bagi keputusan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada pada kita.

Penilaian merupakan satu proses membuat pertimbangan dan keputusan profesional dalam menafsir hasil pengukuran. Tujuan penilaian adalah untuk memberikan maklumat tentang pencapaian murid, objektif pelajaran, kaedah mengajar

dan kurikulum diikuti dengan proses memberi nilai atau interpretasi kepada maklumat itu . Penilaian juga dapat menentukan jurang perbezaan antara “apa yang dihasilkan” dengan “apa yang dihasratkan” dari sesuatu program pendidikan.

Soalan 2.

Kepentingan pentaksiran dalam bilik darjah matematik.

Tujuan utama pentaksiran dilakukan di dalam bilik darjah adalah untuk mengumpul maklumat bagi memudahkan proses membuat sesuatu keputusan. Diantara kepentingan pentaksiran dalam bilik darjah matematik adalah :

2.1. Mewujudkan bilik darjah yang seimbang.

Guru mewujudkan suasana positif untuk menggalakan iklim bagi pembelajaran matematik. Peraturan dan kerjasama sentiasa diutamakan di mana pelajar yang cerdas membimbing pelajar yang lemah. Hubungan di antara guru dan pelajar pula berada dalam suasana harmoni dan saling membantu dalam pelbagai perkara.

2.2. Merancang perancangan pengajaran dan pembelajaran.

Seseorang guru memerlukan pentaksiran tentang kesilapan pengajaran yang lepas dalam menghubungkan kefahaman pelajar dalam sesuatu topik matematik. Satu perancangan pengajaran dan pembelajaran dengan cara baru dapat diterapkan dalam pengajaran guru malah lebih berinformasi tentang keperluan pembelajaran pelajar dan membolehkan guru membaiki kaedah pengajaran sejajar dengan keperluan pelajar.

2.3. Menyediakan maklum balas dan insentif.

Maklumat pentaksiran dapat dibuat dengan merujuk buku aktiviti dan latihan pelajar. Disamping itu juga kuiz, ujian bulanan dan polio matematik boleh digunakan untuk melihat kemajuan dan kebolehan pelajar. Maklum balas ini dapat mengubah dan meningkatkan pembelajaran matematik pelajar.

2.4. Mengenal pasti masalah pelajar.

Apabila masalah pembelajaran pelajar sudah dikenal pasti, program diagnostik boleh dijalankan ke atas pelajar tersebut. Masalah pembelajaran matematik dapat dikesan dan tindakan segera dapat dilakukan bagi mengurangkan masalah pelajar.

2.5. Membuat penilaian dan pengredan kemajuan pelajar.

Penilaian seseorang pelajar dilakukan berdasarkan kepada rekod kemajuan pembelajarannya. Rujukan norma yang melibatkan perbandingan kemajuan pelajar digunakan bersama rujukan kriteria yang tidak membandingkan perbezaan itu. Pengredan juga dilakukan untuk membuat keputusan tentang pemilihan pelajar yang berbakat dan pelajar yang akan mengikuti pendidikan khas.

Soalan 3.

Pentaksiran boleh digambarkan sebagai suatu proses kitaran. Gambarkan proses pentaksiran dan terangkan secara ringkas setiap fasa dalam proses ini.

PERSEDIAAN


REFLEKSI PENAKSIRAN


PENILAIAN

Rajah 1. Proses Pentaksiran Pelajar

3.1. Fasa Persediaan

Dalam fasa persediaan, keputusan dibuat oleh murid dan guru untuk menentukan perkara yang akan dinilai juga jenis penilaian yang akan digunakan samada formatif, sumatif ataupun diagnostik. Objektif pembelajaran dan teknit sesuai digunakan untuk mengumpulkan maklumat perkembangan pelajar. Keputusan yang dibuat oleh guru akan menjadi asas kepada fasa berikutnya.

3.2. Fasa Pengumpulan Maklumat

Guru mengenalpasti strategi – strategi untuk mengumpulkan maklumat, membina dan memilih instrument, mengendalikan kepada pelajar dan mengumpulkan maklumat daripada pembelajaran pelajar yang sedang berlaku.Guru akan membuat keputusan dan pertimbangan dari sebarang unsur yang mempengaruhi instrument yang telah dibuat.

3.3. Fasa Penilaian

Guru menjelaskan maklumat pentaksiran dan membuat keputusan tentang perkembangan pelajar – pelajar. Dari penilaian yang dibuat guru akan menentukan program – program pembelajaran dan menbuat laporan kepada pelajar- pelajar, ibubapa dan pihak pentadbiran sekolah.

3.4. Fasa Refeleksi.

Guru akan membuat pertimbangan kepada fasa – fasa sebelumnya samada berjaya atau tidak. Guru juga dapat menilai penggunaan dan kesesuaian strategi pentaksiran yang telah digunakan serta membuat keputusan berkaitan kemajuan dan perubahan pengajaran dan penilaian pada masa akan datang.

Soalan 4

Terangkan dengan perkataan anda sendiri pentaksiran piawai dan pentaksiran bukan piawaian.

Pentaksiran piawai adalah pentaksiran yang diselaraskan untuk semua calon peperiksaan tanpa mengira di mana dan bila dijalankan. Markah calon diperiksa dan ditafsir dengan cara yang sama dengan tujuan untuk mendapat markah seluruh sekolah, negeri dan negara. Contoh pentaksiran piawai adalah seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Malaysian University English Entrance Examination (MUET). Semua ujian tersebut dikelolakan oleh satu Majlis Peperiksaan Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pentaksiran bukan piawai ialah pentaksiran yang dijalankan disekolah yang di bina oleh guru – guru bertujuan untuk mentaksir keperluan khusus dalam kelas. Pentaksiran ini merupakan pentaksiran maklumat untuk membandingkan gred, tahun, dan tingkatan pelajar.

Soalan 5

Bagaimana anda melaksanakan teknik pentaksiran secara berterusan? Terangkan teknit ini dengan ringkas.

Teknit pentaksiran secara berterusan digunakan oleh guru semasa pengajaran dan pembelajaran biasa di dalam kelas. Guru sekolah rendah lebih banyak menggunakan teknit ini berbanding dengan guru sekolah menengah kerana pembangunan sosial dan kemahiran berkomunikasi berlaku dengan tinggi diperingkat sekolah rendah. Perlaksanaan teknit pentaksiran secara berterusan adalah seperti berikut :

i. Menulis Tugasan.

Menulis tangan dilakukan secara individu atau berkumpulan dan dilakukan dalam bentuk kontrak atau tugasan berterusan. Laporan bertulis di buat setelah pelajar membuat perbentangan atau persembahan. Penilaian dilakukan oleh guru untuk menilai kandungan, kemahiran , sikap dan proses penulisan dijalankan. Penilaian kendiri dan penilaian rakan sebaya dilakukan bersama penilaian guru untuk membuat laporan bertulis.

ii. Pembentangan atau persembahan.

Pembentangan atau persembahan dilakukan secara individu atau kumpulan di dalam stesen- stesen pentaksiran kontrak, pentaksiran kendiri dan pentaksiran rakan sebaya. Senarai semak, skala pemeringkatan dan rekod anecdotal digunakan untuk merekod maklumat pentaksiran.

iii. Kerja Rumah.

Kerja rumah adalah tugasan pelajar yang disempurnakan pada waktu lapang di luar kelas. Aktiviti pembelajaran individu seperti menjawab soalan, penyempurnaan laporan dan penyediaan isi pembentangan adalah teknit pentaksiran dan kaedah pengajaran. Teknit ini dapat mentaksirkan prestasi pelajar melalui penggunaan skala pemeringkatan, senarai semak atau rekod anecdotal. Antara kriteria pentaksiran berterusan dilihat dalam kerja rumah adalah :

· Memahami tujuan

· Menunjukkan kefahaman.

· Ukuran untuk pentaksiran berterusan.

· Maklumbalas bagi pentaksiran berterusan.

BAHAGIAN B

Soalan 1.

(a) Terangkan istilah – istilah berikut: kesahan, kebolehpercayaan dan kebolehlaksanaan.

Kesahan.

Kesahan bermaksud keboleh ujian mengukur apa yang sepatutnya diukur (Youngman & Eggleston, 1982; Sax & Newton,1977). Kesahan sesuatu ujian merujuk kepada sejauh mana ujian berkenaan dapat mengumpul maklumat berkaitan bidang yang ditetapkan. Dengan perkataan lain, sesuatu ujian itu dikatakan sah, sekiranya ujian berkenaan boleh mengukur sesuatu yang sebenarnya hendak diukur atau sepatutnya diukur. Dalam konteks Pembelajaran Masteri, ujian yang terlibat ialah praujian dan pascaujian.

Kebolehpercayaan.

Kebolehpercayaan sesuatu ujian merujuk kepada ketekalan, ketepatan, dan kebolehbergantungan ujian berkenaan. Ini bermaksud sesuatu ujian yang boleh dipercayai akan menghasilkan maklumat yang tekal (merujuk kepada beberapa pentadbiran ujian yang telah dijalankan), tepat seperti yang sepatutnya serta boleh diterima pakai tanpa keraguan.

Kebolahlaksanaan.

Kebolehlaksanaan adalah berhubung rapat dengan bentuk soalan ujian

itu sesuai dalam lingkungan masa dan batas kajian. Hasil ujian akan memberi gambaran berhubung dengan pembinaan ujian.

(a) Berikan empat cara untuk memastikan kesahan sesuatu pentaksiran.

I. Mestilah ada kenyataan yang jelas mengenai tujuan atau hasil pembelajaran sesuatu kursus.

II. Objektif atau hasil pembelajaran sesuatu kursus ialah untuk mengukur sama ada tercapai atau tidak.

III. Pentaksiran haruslah mengambil contoh dari kebolehan pelajar dalam kebanyakan objektif atau hasil pembelajaran.

IV. Memastikan keselamatan dan pengawasan yang mencukupi dalam menjalankan ujian bagi mengelakkan penipuan.

Soalan 2.

Terangkan dengan perkataan anda sendiri : Pentaksiran Matematik Autentik.

Pentaksiran Matematik Autentik adalah satu kurikulum matematik baru yang merentas sempadan dunia dan logistik yang mengandungi penetapan yang berstruktur dan berbeza dengan penetapan biasa di dalam kelas sebelumnya. Kurikulum tersebut mengabungkan topik matematik lama, baru dan akan datang yang kaya dengan pelbagai masalah berbentuk situasi yang aktif dan berkait rapat dengan pelajar.

Pembelajaran situasi ini dan masalah situasi kehidupan sebenar merangkumi:

  1. Berfikir dan memberi alasan.

Pelajar terlibat dalam aktiviti – aktiviti mengumpul data, menjelajah, menyiasat, menterjemah dan memberi alasan.

  1. Penetapan – penetapan.

Pelajar belajar secara individu atau kumpulan.

  1. Bahan Matematik.

Menggunakan simbol, jadual, graf, kalkulator, komputer, internet dan alat manipulatif.

  1. Sikap sendiri dan pengambilalihan tempat.

Perumpamaan, kebiasaan sendiri dan tindakbalas, penyertaan – penyertaan dan minat.

Pelajar bekerja membina pengetahuan baru yang berkait rapat dengan pengetahuan utama mereka. Guru hanya berperanan sebagai pemudah cara menolong pelajar – pelajar untuk mencapai keupayaan matematik . Pentaksiran Matematik Autentik diharapkan menjadi bahagian pengajaran yang berintegrasi sebagai alat untuk mengumpul data dan mengikut arahan.

Bibliografi

Atan Long ( 1982 ).Psikologi Pendidikan . Kuala lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Assoc Prof.Dr.Rohani Ahmad Tarmizi ( 2009 ) . SBEM3403 Measurement and

Evaluation in Mathematics ( 7th.ed ) . Seri Kembangan , Selangor : Meteor Doc.Sdn.Bhd.

Ee Ah Meng ( 1993 ). Pedagogi Satu Pendekatan Bersepadu ( 2nd.ed ) . Kuala Lumpur

: Fajar Bakti Sdn.Bhd.

Gay, L.R (1985). Educational and evaluation and measurement. Competencies for analysis and application. 2nd ed. Charles E. Merril.

Lee Shok Mee dan Mook Soon Sang.(1989). Pengujian dan penilaian dalam pendidikan. Kuala Lumpur ,Kumpulan budiman.

Mok Soon Sang ( 1994 ).Penilaian,Pemulihan dan Pengayaan dalam Pendidikan .

Subang Jaya,Selangor : Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.

Mok Soon Sang & Siew Fook Cheong( 1988 ). Pengajaran dan Pembelajaran

Matematik untuk Peringkat Sekolah Rendah (4th.ed). Petaling Jaya,Selangor : Longman Malaysia Sdn.Bhd.

Mokhtar Ismail ( 1995 ).Penilaian di Bilik Darjah . Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan

Pustaka.

Popham, W.J. (2000). Testing : What every parent should know about school tests. London: Allyn & Bacon.

Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia. (2002). Penilaian kendalian sekolah.

Stufflebeam, D.L. (1971). “Evaluations enlightment for decision making” in Beatty, W.H (Ed.) Improving educational assessment and an inventory of measures of affective behavior. Washington D.C: ASCD

Siti Rahayah Ariffin. (2003). Teori, Konsep dan Amalan Dalam Pengukuran dan

Penilaian. Pusat Pembangunan Akademik Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Soon Sang, Mok (1996) Pengajian Matematik untuk Diploma Perguruan. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Tan Hui Ling & Ee Ah Meng ( 1996 ). Penilaian dalam Proses Pendidikan (Asas

Pendidikan 3) .

Shah Alam,Selangor : Fajar Bakti Sdn.Bhd.

Yap Yee Khiong , Wan Chwee Seng & Ismail Abu Bakar ( 1989 ). Pengukuran dan

Penilaian dalam Pendidikan ( 3rd.ed ). Petaling Jaya , Selangor : Longman Malaysia.

http://www.geocities.com/gardner02_6/sinopsis_shakir.htm .2.7.2009

http://www.geocities.com/kheru2006/v.htm.3.7.2009